IPGK Darulaman, Jitra – 16 Mac 2023 (Khamis) Masjid An-Nur IPGKDA telah mengadakan program Perasmian Pelancaran Ihya’ Ramadhan 1444 H dan ceramah Isra’ Mikraj  yang merupakan salah satu aktiviti Masjid An-Nur IPGKDA 2023 bermula jam 2.00 petang melibatkan semua warga IPGKDA termasuk semua pelajar yang beragama Islam. Pelancaran Program Ihya’ Ramadhan dimulai dengan  ucapan dari Dr. Hj. Asri bin Md Saman @ Osman, Timbalan Pegerusi Masjid  An-Nur yang juga Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral mewakili Tuan Pengarah IPGKDA  dan seterusnya merasmikan  Pelancaran Ihya’ Ramadhan 1444H melibatkan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan nanti. Antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah, Iftar Harian, Iftar Perdana, Qiamullail Perdana, solat Tarawih, Kuliah Zohor, Tadarus al-Quran, Khatam Al-Quran dan memasak bubur lambuk. Ramadan Al-Mubarak merupakan satu bulan yang mulia di sisi Allah SWT yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Oleh itu besarlah harapan pihak JK Masjid An-Nur untuk mendedahkan kepada semua warga IPGKDA tentang adab dan amalan mulia di bulan Ramadan.

Selepas itu, majlis ceramah Isra’ Mikraj pula menampilkan penceramah yang diundang khas iaitu Dr. Mohd Nizho bin Abdul Rahman pensyarah dari UUM Kedah. Majlis ceramah ini bertujuan untuk mengingati peristiwa Israk dan kaitannya dengan Bulan Ramadhan serta mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut dan mengamalkannya didalam kehidupan seharian. Program tersebut tamat pada jam 3.30 petang.