Pada 15 hingga 17 Februari 2024, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor telah menganjurkan sebuah bengkel bertajuk "Penggunaan Aplikasi Multimedia Dalam Dakwah" dengan usahasama Jabatan Teknologi Pendidikan, IPGM Kampus Darulaman. Bengkel ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada peserta cara penggunaan aplikasi multimedia sebagai alat untuk menyebarkan dakwah Islam secara lebih efektif, terutamanya melalui platform digital yang semakin mendominasi kehidupan harian.
Para pensyarah dari Jabatan Teknologi Maklumat di ketuai oleh Ketua Jabatan JTP, Dr Muhammad Fariduddin bin Wajdi Anthony;membantu para peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar subjek Pendidikan Islam dari sekolah-sekolah Negeri Selangor melalui pelbagai aspek penggunaan aplikasi multimedia dalam konteks dakwah. Dengan pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang teknologi maklumat, mereka membantu peserta memahami potensi serta kegunaan pelbagai aplikasi multimedia yang boleh digunakan untuk menyampaikan pesanan-pesanan keagamaan dengan cara yang menarik dan relevan kepada audiens masa kini.
Peserta bengkel diajar untuk menggunakan pelbagai aplikasi multimedia termasuk penggunaan telefon bimbit sebagai alatan utama rakaman, penyunting video, serta platform media sosial untuk menyebarkan hasil karya mereka. Mereka diberi tunjuk ajar tentang teknik-teknik penggambaran, penyuntingan, dan pemasaran video yang dapat meningkatkan kualiti dan daya tarikan karya dakwah mereka.
Diharapkan, dengan kemahiran yang diperoleh daripada bengkel ini, para peserta dapat terus menghasilkan karya-karya yang bermakna dan memberi impak positif kepada masyarakat, terutamanya dalam konteks penguatan nilai-nilai keagamaan dalam masyarakat yang semakin canggih teknologi.
BENGKEL APLIKASI MULTIMEDIA DALAM DAKWAH NEGERI SELANGOR
- Details
- Hits: 9865