Penamaan Calon Pilihanraya Kampus IPGKDA 2019

IPGKDA (16 Januari 2019) – Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman dengan kerjasama Pejabat  Pilihan Raya negeri Kedah telah mengadakan hari penamaan calon untuk memilih Jawatankuasa Perwakilan Pelajar bagi sesi 2019-2020. Proses penamaan calon pada tahun ini dilaksanakan seperti pilihan raya sebenar dengan bantuan seramai 29 orang pegawai Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah dan 25 orang Sekretariat Pilihan Raya IPG Kampus Darulaman.

Pada jam 10.00 pagi hingga jam 1.00 tengah hari, pelajar-pelajar yang menawarkan diri untuk bertanding bagi merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Majlis Mesyuarat perlu melalui proses saringan dan temu duga yang dikendalikan oleh Sekretariat Pilihan Raya IPG Kampus Darulaman.

Calon-calon yang telah melepasi tapisan dan temu duga dikehendaki menyerahkan borang pencalonan mereka kepada penolong pengurus pilihan raya yang terdiri daripada pegawai-pegawai Pilihan Raya Negeri Kedah, di Dewan Besar IPG Kampus Darulaman dari jam 2.00 petang hingga 4.00 petang. Sebanyak enam kaunter penerimaan borang pencalonan telah dibuka bagi mempercepat proses penamaan calon.

Sebaik sahaja  penamaan calon tamat, En. A. Halim bin Mat, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kampus telah mengumumkan sebanyak 16 orang calon telah menawarkan diri untuk bertanding kerusi Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan 74 orang lagi calon menawarkan diri untuk merebut jawatan Ahli Majlis Mesyuarat (AMM). Selepas pengumuman pengesahan jumlah calon dan memperkenalkan calon, Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kampus, Tuan Rosdan Tuan Muda telah memberi taklimat peraturan berkempen menjelang pilihan raya yang akan diadakan pada 30 Januari 2019. Calon-calon serta pencadang dan penyokong turut diberikan suntikan motivasi oleh Dr. Zainol Abidin Ishak, Ketua Unit Psikologi Kaunseling IPG Kampus Darulaman.

 

Program pilihan raya kampus yang julung-julung kalinya diadakan secara kolaborasi  ini turut dihadiri dan dipantau oleh Encik Zuhri Ismail, Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah, serta Dr. Amani Abdullah Mubarak dan Dr. Azizah Sarkowi yang mewakili pengarah IPG Kampus Darulaman. Menurut En. Zuhri Ismail, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses penamaan calon hari ini. Beliau berharap, pelajar-pelajar dapat mempelajari proses penamaan calon seperti pilihan raya umum yang sebenarnya.

 

Selain daripada penamaan calon, pihak Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah turut membuka kaunter bergerak bagi memudahkan pelajar dan kakitangan IPG Kampus Darulaman untuk mendaftar dan menyemak nama pengundi.

Proses penamaan calon selesai pada jam 4.00 petang.

 

1

4

3

2

11

10

8

7

6

5

Leave a Reply

Your email address will not be published.