Print
Category: Jabatan Bahasa Arab
Hits: 2262

1.0          Pengenalan

Jabatan Bahasa Arab (JBA) ialah jabatan akademik yang pada asalnya merupakan Unit Bahasa Arab di bawah organisasi Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JPIM). Unit ini kemudiannya dinaik taraf sebagai sebuah jabatan akademik berkuat kuasa 1 Januari 2019 kerana IPG KDA merupakan Tier 2 bidang Bahasa Arab yang memerlukan fokus yang lebih jitu dalam semua program akademik yang ditawarkan. JBA kini berada di lokasi K216, Aras 2, F4, bangunan Aminuddin. JBA distrukturkan kepada tiga unit utama, iaitu Unit Pedagogi dan Pentaksiran, Unit Kurikulum Teras dan Unit Penyelidikan, Inovasi dan Kurikulum Kontemporari. JBA berperanan mengendalikan program-program akademik bidang bahasa Arab di peringkat institut dengan menawarkan kursus-kursus bidang teras, elektif teras dan elektif terbuka yang mencakupi kandungan ilmu, pedagogi, pentaksiran, penyelidikan dan inovasi. Sehingga Januari 2021, terdapat dua program utama yang dikendalikan, iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP – PPC) yang melibatkan 103 orang pelajar bidang teras dan 224 orang pelajar elektif ambilan 2018 hingga 2020. JBA terdiri daripada 12 orang pensyarah pelbagai bidang kepakaran seperti pembangunan kurikulum, pembinaan modul, penilaian program, kepimpinan pendidikan, penyelidikan dan inovasi dalam Bahasa Arab. Sejak mula beroperasi, JBA telah menjalinkan kerjasama dan perkongsian strategik antara agensi luar seperti Sekolah Zakat Kedah melalui latihan dan bimbingan guru. Dalam masa yang sama, JBA mempelopori program pemantapan berbahasa Arab kaedah Pare di sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah agama negeri dan sekolah agama bantuan kerajaan zon utara. JBA juga merupakan tonggak dan nadi kepada IPG KDA yang terpilih sebagai Pusat Kecemerlangan Bahasa Arab Zon Utara mulai 2020. 

 

 

2.0           Fungsi Jabatan   

2.1  Melaksanakan kurikulum Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Arab Pendidikan Rendah dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP – PPC) Bahasa Arab (Menengah)

2.2  Mengendalikan kursus dan bengkel berkaitan Bahasa Arab sama ada kurikulum, kemahiran berbahasa, pedagogi, penyelidikan dan inovasi.

2.3  Menganjurkan tiga program utama berpandukan perancangan tahunan jabatan dan aktiviti lain yang memfokuskan kepada pembinaan ilmu dan kemahiran pelajar serta pembangunan kompetensi pensyarah secara penganjuran dalaman atau melibatkan pihak luar dan pemegang taruh yang berkepentingan

 

 2.4        UNIT PEDAGOGI DAN PENTAKSIRAN

2.4.1 Unit Pedagogi dan Pentaksiran berfungsi merancang, menyelaras dan melaksana aktiviti berkaitan aspek pedagogi dan pentaksiran yang ditetapkan dalam semua program pengajian yang ditawarkan. Unit ini bertanggungjawab mengendalikan kursus dan aktiviti akademik yang melibatkan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pedagogi serta pentaksiran terkini yang sesuai dengan perkembangan pendidikan dan cabaran semasa. Unit ini turut bertanggungjawab membangunkan profesionalisme keguruan pensyarah dan pelajar serta memanfaatkan perkongsian amalan terbaik pedagogi dalam kalangan warga pendidik.   

 

2.5       UNIT KURIKULUM TERAS

 

2.5.1  Unit Kurikulum Teras bertanggungjawab merancang dan menyelaras semua aktiviti kurikulum dan aktiviti sokongan akademik berkaitan bidang teras dan kandungan ilmu Bahasa Arab bagi semua program akademik yang ditawarkan. Unit ini juga menjalinkan kerjasama dengan pihak luar dalam melaksanakan program-program yang dapat memperkasa, membudayakan  dan memartabatkan Bahasa Arab dalam masyarakat dan di peringkat kebangsaan serta di persada antarabangsa.

 

2.6        UNIT PENYELIDIKAN INOVASI DAN KURIKULUM KONTEMPORARI

 

2.6.1 Unit Penyelidikan, Inovasi dan Kurikulum Kontemporari berperanan untuk menyokong pembangunan kompetensi pensyarah dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi yang bermatlamat memperkukuhkan amalan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi. Unit ini akan memacu keupayaan jabatan melibatkan pensyarah dan pelajar secara aktif bagi menghasilkan penerbitan yang berkualiti pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Unit ini juga berfungsi mengupayakan kursus-kursus guna sama dan kontemporari yang ditawarkan dalam program pendidikan guru.