Salam Tahun 2021

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian. Hendaknya anda semua dalam kesejahteraan di sisi keluarga masing-masing. Tahun 2020 yang penuh cabaran baru sahaja berlalu dan kita semua mula melangkah ke tahun baharu 2021. Pandemik Covid-19 yang telah mula melanda negara kita di hujung 2019 telah mengubah kehidupan kita pada tahun 2020. Kita semua terpaksa mengubah paradigma kehidupan untuk mengamalkan normal baharu. Banyak perkara yang dahulunya menjadi kebiasaan terpaksa kita ubah atau tinggalkan dan harus kita amalkan peraturan yang baharu. Pelbagai SOP telah diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Tahun 2021 turut mengheret normal baharu bersama-sama kita. SOP masih kita perlu patuhi dan kita dituntut sentiasa berwaspada tentang jangkitan virus Covid-19 yang boleh membawa maut.

Bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan. Semua pelajar perlu meneruskan pengajian walau dalam apa jua keadaan. Begitu diharapkan, pandemik akan berakhir atau setidaknya semakin kendur dan tidak lagi menghalang aktiviti pembelajaran di seluruh negara. Semangat kental pelajar sangat diperlukan untuk menjayakan apa sahaja yang telah dirancang dan diatur oleh pihak pentabir. Kita semua juga dituntut untuk bersiap siaga bagi berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan yang akan muncul dalam tahun ini. Pelajar-pelajar dikehendaki menggandakan usaha agar lebih cemerlang dan jangan lupa lengkapkan diri anda dengan kemahiran insaniah. Semoga anda semua cemerlang gemilang dan terbilang.

Salam maju jaya.

TUAN ROSDAN BIN TUAN MUDA
Ketua Jabatan
Jabatan Hal Ehwal Pelajar