Lawatan Penilaian Akreditasi Penuh Malaysian Qualification Agency (MQA) bagi Program Diploma Perguruan Pendidikan Islam (MQA/FA 17895) telah berlangsung pada 19-20 Ogos 2024 hari Isnin dan Selasa di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman. Ahli Panel Penilai yang terlibat adalah Prof. Madya Dr. Zetty Nurzuliana binti Rashed dan Dr. Abu Zarrin bin Selamat serta Pegawai MQA bertugas En. Mohd Fairuz bin Abu Samah. Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan semasa lawatan adalah seperti mesyuarat penyelarasan antara Pegawai MQA dan Ahli Panel Penilai (APP), taklimat latar belakang program oleh Ketua Program iaitu Ketua Jabatan dari Jabatan Pendidikan Islam & Moral (JPIM) serta sesi pembuktian pematuhan terhadap syarat-syarat akreditasi sementara, perjumpaan dengan Ketua Program & staf akademik, pemerhatian aktiviti pengajaran dan pembelajaran, perjumpaan dengan wakil pelajar PPT dan pelajar program PDP, lawatan ke bilik kuliah & pusat sumber, semakan dokumen, perjumpaan dengan Setiausaha Jaminan Kualiti & Pematuhan Polisi, penyelarasan hasil dapatan lawatan antara APP dengan MQA dan pembentangan dapatan lawatan bersama pihak MQA, APP dan pihak pengurusan PPT. Tahniah diucapkan kepada Pengarah, Timbalan Pengarah, SU SJKPP, KJ JKA, Penyelaras MQA, Pemegang Program PDP Pendidikan Islam - KJ JPIM, semua KJ/KU, AJK dan urusetia program serta semua pensyarah yang terlibat semasa penyediaan dan pelaksanaan penilaian MQA kali ini. Terima kasih atas komitmen, fokus dan sinergi yang tinggi.

PENGENALAN

Sekretariat Jaminan Kualiti dan Pematuhan Polisi (JKPP) Institut Pendidikan Guru telah dibentuk secara rasmi setelah diluluskan dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) pada 29 Oktober 2019. Sekretariat JKPP IPG merupakan penghubung kepada Jabatan Jaminan Kualiti dan Pematuhan Polisi di IPGM untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan. Dalam proses memberi kepuasan kepada pelanggan, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman (IPGKDA) telah menggunakan satu daripada standard kualiti peringkat antarabangsa sebagai garis panduan untuk dipatuhi, iaitu ISO 21001:2018 EOMS.  Satu piawai baru, iaitu Sistem Pengurusan Organisasi Pendidikan ISO 21001:2018 EOMS telah diperkenalkan untuk institusi pendidikan formal oleh SIRIM QAS INTERNATIONAL SDN. BHD. Melalui penggunaan standard tersebut, proses atau rangkaian perkhidmatan dan sistem kerja di IPGKDA menjadi lebih terancang dan berkesan. Hal ini melibatkan peningkatan fungsi utama organisasi dan Perkhidmatan Pengurusan Pendidikan Keguruan (PPPK) yang berfokus kepada Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP), Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan  Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP).

Sekretariat Jaminan Kualiti Pematuhan Polisi IPGKDA juga bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Akreditasi IPGKDA yang berperanan untuk memantau pelaksanaan audit dan memperakukan akreditasi untuk program akademik yang memenuhi standard yang ditetapkan oleh MQA. Bagi program akademik profesional, akreditasi dijalankan oleh badan-badan profesional yang berkaitan. Dalam hal ini, pihak JKPP IPGKDA hanya bertindak sebagai urus setia kepada badan-badan profesional tersebut.

 

FUNGSI SEKRETARIAT JAMINAN KUALITI DAN PEMATUHAN POLISI

  1. Memantau dan menilai pelaksanaan sistem kitaran kualiti, agenda peningkatan kualiti menyeluruh di IPG dan pematuhan terhadap semua polisi yang berkaitan dengan kualiti.

  2. Memantau pelaksanaan proses kualiti, pengurusan risiko dan penghasilan output yang memenuhi keperluan pelanggan.

  3. Menilai tindakan penambahbaikan berterusan secara berkala dan memastikan keberkesanan semua urusan pengakreditasian program pengajian, sistem Pengurusan Organisasi Pendidikan dan Standard Penarafan IPG KPM.

  4. Melaksanakan pengurusan proses akreditasi program pengajian IPG KPM dan memastikan semua program pengajian yang dilaksanakan di IPG mendapat akreditasi.

  5. Memastikan pematuhan keperluan jaminan kualiti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi permohonan akreditasi program pengajian IPG; dan

  6. Menyelaras dan memantau pelaksanaan Standard Penarafan IPG KPM untuk mengenal pasti kekurangan dalam dimensi yang dihadapi oleh mana- mana kampus IPG seterusnya dapat menyediakan sokongan yang diperlukan.